Terima kasih pada anda yg sudi....

Saturday, November 20, 2010

Aidiladha:Satu Kekurangan Seribu Kelebihan

Semuanya tiada. Tiada Jualan Murah. Tiada Lagu Raya. Tiada rancangan khas di televisyen. Tiada mercun dan panjut menghias malam. Segalanya tiada. Ibu kota sunyi sepi. Tiada hiruk pikuk seperti menyambut ketibaan Syawwal. Apa yang sayup-sayup terdengar hanyalah Takbir. Di menara masjid, di surau-surau, di sesetengah rumah. Itu sahaja. Tetapi, tidakkah itu semua suatu kelebihan? Satu [...]



Semuanya tiada.
Tiada Jualan Murah.
Tiada Lagu Raya.
Tiada rancangan khas di televisyen.
Tiada mercun dan panjut menghias malam.
Segalanya tiada.

Ibu kota sunyi sepi. Tiada hiruk pikuk seperti menyambut ketibaan Syawwal. Apa yang sayup-sayup terdengar hanyalah Takbir. Di menara masjid, di surau-surau, di sesetengah rumah. Itu sahaja.
Tetapi, tidakkah itu semua suatu kelebihan?
Satu nikmat pada yang tiada. Aidil Adha tiba tanpa pesta dan hiburan. Hanya Takbir, Solat di hening Dhuha serta ibadah korban didukung jiran tetangga. Hakikatnya itulah makna sebuah Hari Raya. Hari membesarkan Allah, hari mencipta pahala, bukan hari melakar dosa.
Syukur pada-Mu ya Allah. Aidil Adha masih terpelihara. Masih jauh daripada pesta dan dosa. Moga kekal begitu hendaknya.
KEKURANGAN YANG SATU
Kekurangannya hanya pada yang satu.
Anak-anak tidak pulang ke desa.
Jika ada pun, mungkin di hari kedua. Kerana komitmen kerja dan tanggungjawab yang tidak mengenal Raya. Kampung halaman kurang menerima kepulangan anak kota.
Namun…
Andai kekurangan itu membolehkan anak-anak menjadi soleh dan terhindar daripada dosa, maafkanlah kekurangan itu duhai sang ayah, duhai sang bonda. Mungkin takbir Aidil Adha sedikit sepi daripada gelak tawa mereka, tetapi jika dengan itu anak-anak bisa lebih patuh kepada yang Esa, maafkanlah kekurangan itu.
Anak yang akan memanjangkan doa selepas matimu, bukan semestinya anak yang selalu pulang, andai pulangnya membawa dosa. Anak yang doanya didengar Tuhan, bukan semestinya anak yang pulang dengan hilai tawa kegembiraan, andai ketawa itu hanya menjauhkan keluarga daripada-Nya.
Anak yang doanya didengar Tuhan, adalah anak yang soleh, anak yang patuh kepada Tuhan. Biar pun di Aidil Adha mereka dan ibu bapa terpisah berjauhan.
Ibrahim jauh daripada keluarganya. Hajar dan Sarah sering jauh daripada suami mereka. Ismail dan Ishak sering berjauhan daripada ayahanda, namun rumahtangga itu memancarkan sejuta kehebatan. Biar tubuh terpisah  di ufuk mentari, semuanya hampir, dekat di hati.
Jauh adalah pada jauhnya semua daripada-Nya.
Dekat adalah pada intimnya kita mendampingi Dia.
Justeru pada satu kekurangan di Aidil Adha, maafkanlah anakanda yang kejauhan.
Kerana mungkin dalam kekurangan itu, doa si anak lebih didengar Tuhan.
Maafkan kami wahai ayah dan bonda.
Ampunkan kami wahai Tuhan yang Maha Memaafkan.

sumber dari.... www.saifulislam.com

No comments:

Post a Comment