Mayat Manusia Gagah Tiba-tiba Mengecut, Mengerekot
Mayat Manusia Gagah Tiba-tiba Mengecut, Mengerekot
Diceritakan oleh Ustaz Nahrawi Marzoki
KESIBUKAN kita berpuasa dan beribadat dalam bulan Ramadan mengingatkan saya kepada pengalaman yang saya lalui beberapa tahun lepas. Kejadian itu berlaku di Kuala Lumpur masa umat Islam sedang bersiap sedia menyambut Ramadan.
Pengalaman yang saya maksudkan ialah menguruskan satu jenazah yang tiba-tiba saja mengecut,
mengerekot dan menggerutu kulitnya tetapi apabila hendak dikebumikan, jenazah seperi membesar pula hingga tak boleh muat ke dalam liang lahad yang telah kita ukur dan gali.
Jenazah yang saya uruskan itu adalah seorang lelaki tua. Umurnya dalam lingkungan 80-an. Allahyarham ini masa hidup memang hebat orangnya. Badan tegap, muka tampan, handal dalam ilmu persilatan dan tidak pernah sakit. Pendek kata masa hidupnya, khususnya masa dia muda, semua orang gerun dengannya. Cukup hebat.
Tapi kita semua makhluk-Nya. Hebat macam mana pun memang akan mati juga akhirnya. Kira-kira dua bulan lebih sebelum meninggal dunia, Allahyarham ini tidak semena-mena saja jatuh sakit. Menurut keluarga Allahyarham, itulah kali pertama dalam hidup dia ditimpa sakit, Dan penyakit yang menimpanya itu pula memang teruk. Tapi peliknya, apabila dihantar ke hospital doktor gagal mengesan apa penyakit sebenar Allahyarham ini.
Allahyarham sakit dan terlantar selama dua bulan tapi dalam jangka waktu itu dia tidak mahu makan dan minum. Sebutir nasi pun tak masuk dalam perutnya. Kalau kita tak makan sehari pun sudah tak tahan, apa lagi dua bulan. Tapi Allahyarham ini walaupun tak makan dua bulan, badan dan kulitnya biasa saja, macam orang yang makan tiap-tiap hari. Tak susut langsung.
Allah itu Maha Berkuasa. Selepas dua bulan terlantar, Allahyarham tiba-tiba nazak. Doktor segera dipanggil. Selepas diperiksa, doktor dapati Allahyarham sudah pun meninggal dunia.
Namun yang menjadi persoalan dan yang buat doktor pening memikirkannya ialah walaupun sudah
meninggal dunia, tubuh Allahyarham ini masih panas seperti dia hidup lagi. Hendak dikatakan dia koma pun tak boleh sebab memang seluruh tubuhnya sudah mati.
Dua hari doktor menunggu tapi tubuh Allahyarham tak juga sejuk-sejuk sampai hendak disahkan sebagai sudah mati pun susah. Keluarga Allahyarham pun gelisah dan tak tahu apa yang hendak dibuat.
Saya ditemukan oleh Allah dengan pengalaman ini apabila diminta oleh anak Allahyarham supaya
membantu menyelesaikan masalah bapanya itu, Saya bersetuju dan terus pergi ke rumah Allahyarham.
Memang betul, badannya panas lagi. Sebab tengok mayat itu pelik sangat, saya beritahu
pada keluarga Allahyarham bahawa saya tak boleh nak kata Allahyarham itu sudah meninggal dunia. Tapi saya cakap, "saya akan cuba bantu'.
Selepas melawat jenazah itu, saya terus balik ke rumah dan minta pandangan ayah saya. Ayah saya adalah imam di kampung saya di Selangor dan banyak pengalaman menguruskan jenazah, Kata ayah, mungkin ada sesuatu yang diamalkan oleh Allahyarham yang masih belum dibuangnya.
Ayah berikan petua-petua untuk mengatasi masalah tersebut dan suruh saya cari barang-barang tertentu, antaranya ialah pokok tebu hitam.
"Engkau carilah benda-benda tu. Baca selawat, surah al-Fatihah dan doa-doa lain serba sedikit. Lepas tu hentakkan tebu ke sendi-sendi mayat," kata ayah saya.
Saya pergi semula ke rumah Allahyarham tadi. Sampai di situ, saya tengok benda-benda yang saya cari memang ada di rumah Allahyarham. Pokok tebu memang banyak, tersusun dan macam jadi hiasan rumah. Kata keluarga Allahyarham, memang Allahyarham yang tanam pokok-pokok tebu itu, tapi tak pernah sekalipun mereka nampak Allahyarham makan tebu-tebu tersebut. Barang-barang lain yang saya perlukan pun ada di rumah itu... seolah-olah dijaga dan disediakan oleh Allahyarham.
Apabila dapat semua barang-barang itu, saya buat macam yang ayah pesan. Saya bawa jenazah ke dalam bilik. Tak dibenarkan orang lain melihatnya kecuali waris terdekat takut nanti timbul fitnah dan syak wasangka yang bukan-bukan. Selepas itu saya ketuk sendi jenazah tadi dengan tebu hitam. Alhamdulillah, sebaik saja selesai saya buat petua-petua itu, badan Allahyarham
mula beransur sejuk.
Tapi keanehan tidak tamat di situ. Timbul pula masalah lain, Apabila badan Allahyarham menjadi sejuk macam mayat-mayat lain, kulitnya beransur-ansur jadi bertompok-tompok. Seluruh tubuhnya tiba-tiba bertukar hitam kebiru-biruan. Bonjol-bonjol macam cacar mula tumbuh sedikit demi sedikit... di muka, tangan, kaki, dada dan seluruh tubuhnya. Macam katak.
Yang paling menakutkan ialah tubuh Allahyarham yang mulanya tegap, gagah, tiba-tiba mengecut dan mengerekot... kecut, kering, berkedut dan menggerutu.
Daging dan seluruh isi tubuh Allahyarham seperti disedut hingga dia jadi kurus. Lama-lama badan Allahyarham ni jadi macam kayu kering ... keras dan berkedut-kedut.
Anggota badan Allahyarham pun turut mengerekot. Tubuhnya yang mulanya terbaring lurus, tangan dalam keadaan kiam tiba-tiba bergerak sedikit demi sedikit apabila isi-isi tubuhnya disedut Lama-lama keadaannya menjadi seperti orang tidur dalam keadaan kesejukan.
Tangan dan kakinya terbengkok mengerekot dan makin lama makin mengeras kaku. Saya tak boleh nak gambarkan... ngeri.
Apabila saya lihat muka Allahyarham, timbul keinsafan. Muka Allahyarham seperti orang yang sedang terseksa, Kasihan, sedih, insaf, macam-macam perasaan timbul ketika itu. Apalah agaknya yang sedang dialaminya.
Esoknya, kira-kira pukul 8.30 pagi, kami dapat pengesahan daripada doktor dan polis bahawa
Allahyarham sudah meninggal dunia. Saya beritahu keluarga Allahyarham dan pembantu-pembantu saya bahawa kami mesti uruskan jenazah ini secepat mungkin.
"Terima sajalah apa yang berlaku. Jangan cerita dengan orang lain. Kita sama-sama jaga dia dan kebumikan secepat yang boleh," kata saya kepada keluarga Allahyarham. Mereka setuju.
Semasa hendak mandikan agak sulit sebab badan Allahyarham keras dan mengerekot, susah nak dimandikan. Jenazah tak boleh nak diriba. Jadi kami mandikan Allahyarham atas kerusi malas.
Lepas siap mandi, kami balut jenazah itu dengan kain kapan... balut begitu saja...ikut syarat. Sebab jasad Allahyarham ini mengerekot dan tidak lurus, jadi kain kapannya pun jadi tidak elok.
Sepanjang menguruskan jenazah ini, saya berdoa supaya tidak berlaku lagi kejadian-kejadian aneh. Cukuplah setakat itu. Tak sampai hati saya hendak tengok jenazah berkenaan dan keadaan keluarganya.
Tapi Allah itu berkuasa melakukan apa saja. Entah apalah kesalahan Allahyarham, satu lagi peistiwa aneh berlaku apabila jasadnya hendak dikebumikan. Apabila dimasukkan saja jenazah ke liang lahadnya, tiba-tiba kami dapati jenazah tak boleh dimasukkan.
"Ah, silap ukur ke ni?" kata saya di dalam hati. Jadi kami ukur balik jenazah dan angkat ia ke atas semula. Kami gali dan besarkan semula liang lahad supaya boleh muat. Selepas itu kami turunkan jenazah dan cuba masukkan ke dalam liang lahad. Allah itu Maha Agung...
mayat itu tidak boleh juga dimasukkan ke liang lahadnya.
Apabila sudah dua kali berlaku perkara yang sama, kami mula pandang sama sendiri. Kami besarkan lagi liang lahad itu, tapi masih tak boleh masukkan jenazah berkenaan, Begitulah yang berlaku berulang-ulang kali hingga akhirya liang lahad yang asalnya cuma lebar lebih kurang dua kaki jadi lebih satu meter. Kita gali sampai lubang kubur itu jadi lurus macam tak ada liang lahad.
Apabila lubang sudah besar seperti itu, barulah jenazah boleh dimasukkan, Namun apabila liang lahad sudah dibesarkan timbul satu lagi masalah-papan pula tak cukup besar untuk menutupnya. Kami cari papan lain untuk tampung. Tak cukup papan kami ambil pula dahan-dahan pokok di kawasan kubur itu, Banyak pokok-pokok yang kena cantas dahannya.
Apabila sudah kecoh macam tu, orang yang menghantar Allahyarham ke kubur mula riuh-rendah.
Keadaan masa itu menjadi huru-hara sikit. Orang ramai mula panik. Apabila dah macam tu, saya minta mereka baca tahlil dan berdoa untuk kebahagiaan dan kerahmatan Allahyarham.
Lama-lama papan pun cukup ikut saiz yang dikehendaki bagi tutup mayat Saiznya lebih kurang semeter lebar, tapi sebab kubur sudah jadi lurus, kami tebuk pula dinding kubur itu supaya boleh letakkan papan tersebut. Inilah pertama kali saya saksikan kejadian seumpama ini.
Apabila urusan dalam kubur selesai, kubur. berkenaan pun dikambus. Maha Suci Allah, satu lagi keanehan berlaku. Tanah yang dikambus tidak cukup!
Kami ambil tanah-tanah di sebelah kubur Allahyarham ini, tapi tak juga cukup. Akhirnya terpaksalah kami tinggalkan kubur itu dalam keadaan seperti berlubang. Susah untuk saya jelaskan macam mana tanah boleh tak cukup sebab kalau kubur digali, tanah jadi gembur
dan apa keadaan sekalipun ia akan cukup. Tetapi kali ini tidak. cuma Allah yang mengetahuinya.
Untuk urusan pengebumian saja memakan masa lebih dua jam. Memang penat. Selesai ditalkin, kami tinggalkan kubur tadi dan balik ke rumah. Tetapi beberapa hari kemudian keluarga Allahyarham datang ke rumah saya. Kata mereka kubur Allahyarham makin mendap. Mendap teruk. Mereka minta saya tolong selesaikan masalah kubur itu pula.
Sampai saja di kubur Allahyarham, kami terus ambil tanah mana yang boleh dan kambus kubur berkenaan. Banyak tanah digunakan, sampai bukit dekat kawasan kubur itu pun kita ambil... ranap lerengnya. Selepas itu saya tidak dengar lagi cerita-cerita aneh tentang kubur
Allahyarham tadi.
Ini cubaan Allah. Apakah dosa Allahyarham hanya Allah yang tahu. Tapi saya yakin setiap yang berlaku itu adalah balasan Tuhan atas apa yang kita lakukan. Cuma satu ingin saya pesan, kalau anda ada mengamalkan ilmu-ilmu tertentu untuk mempertahankan diri atau pelindung, dan ilmu itu meragukan di sisi Islam ... buanglah. Saya khuatir ilmu-ilmu seperti itulah yang
menyebabkan Allahyarham tadi jadi sedemikian rupa.
Saya berpesan begini sebab difahamkan Allahyarham ini semasa hayatnya memang gagah dan ditakuti. Semasa terjadinya tragedi 13 Mei, dialah antara orang yang menjadi hero orang Melayu. Parang pisau atau senjata tajam lain dia tak kisah langsung sebab tak lut badannya. Sebab keballah itu sampaikan masa dia sakit timbul masalah kerana jarum suntikan tak boleh lut.
Kejadian ini adalah kuasa Allah dan jangan buruk sangka kepada mayat. Kalau ada mayat yang ada aib,tolonglah jangan ceritakan pada orang, namanya, keluarganya, kampungnya dan sebagainya. Tolong amanah betul-betul.
Saya bukan hendak aibkan Allahyarham, tapi tujuan saya dedahkan kisah ini cuma satu-untuk memberi keinsafan kepada kita yang masih hidup. Moga-moga kita dapat petunjuk daripada-Nya.
Sumber: Mastika
No comments:
Post a Comment