Asap Keluar daripada Mulut dan Hidung Jenazah
Asap Keluar daripada Mulut dan Hidung Jenazah
Diceritakan oleh Ustaz Ishak Ali
PENGALAMAN yang ingin saya ceritakan ini memang aneh. Mungkin ada yang tidak percaya dengan cerita saya ini, namun ingin saya tegaskan, ia adalah kisah yang benar-benar telah saya lalui. Saya harap agar semua pembaca dapat ambil iktibar daripadanya.
Kejadian tersebut berlaku pada pertengahan 1980-an, kira-kira dua atau tiga tahun selepas saya menjadi pegawai di Bahagian Pengurusan Jenazah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Masa itu memang tak ada orang yang sanggup untuk bertugas di bahagian tersebut kerana menguruskan jenazah tanpa waris dan tak dikenali memang satu kerja yang mencabar. Ini kerana kebiasaannya mayat yang kami perlu uruskan itu ditemui dalam keadaan ngeri. Ada yang mati dibunuh, jumpa kepala sahaja, atau badan sahaja, sudah reput sebab dijumpai dua tiga minggu selepas mati dan sebagainya.
div.fullpost {display:none;}
div.fullpost {display:inline;}
Walaupun dalam tempoh dua tiga tahun itu telah banyak jenazah telah saya uruskan, namun jenazah yang ini amat aneh. Pengalaman menguruskannya tak akan saya lupakan sampai bila-bila.
Pada hari tersebut, saya dapat panggjlan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) meminta kami uruskan satu mayat lelaki berumur 50-an. Mayat itu tidak dikenali dan warisnya tidak dapat dikesan. Menurut hospital, kami perlu uruskan mayat tersebut sebab ada tanda-tanda
yang menunjukkan dia beragama Islam. Ini mereka dapat kesan semasa buat post-mortem dengan melihat makanannya, berkhatan dan sebagainya.
Seperti biasa apabila dapat panggilan dari hospital, saya pun bersiap dan ajak pemandu serta dua orang kawan untuk membantu.
Namun entah apa sebabnya, saya menghadapi banyak masalah pada hari berkenaan. Ada saja rintangan yang menghalang saya daripada dapat pergi terus ke hospital. Hati saya mula rasa tak sedap.
Bagi orang yang banyak pengalaman menguruskan jenazah, perasaan yang saya alami itu bukan satu yang pelik. Biasanya mayat-mayat yang 'kurang elok' macam ini ada saja rintangan untuk menguruskannya. Kita nak pergi uruskannya pun terasa berat saja, rasa tak senang
dan gelisah.
Semasa menguruskannya pula, kadang-kadang tubuh jenazah itu kita rasa berat, nak mandikan pun tak seronok, rasa macam kita tak mau nak dekat dengan dia dan macam-macam lagi. Tapi sebab itu memang tanggungjawab kita sesama Islam, maka kita perlu jalankannya dengan sebaik mungkin.
Sampai ke bilik mayat, kami jumpa pegawai bertugas, isi dokumen yang diperlukan dan terus menuju ke tempat jenazah ditempatkan. Saya suruh kawan saya ambil tray mayat tersebut, tapi mereka semua tak mahu. Mungkin takut agaknya sebab mereka muda lagi dan bukanlah pembantu tetap kepada saya. Mereka cuma tolong apabila ada kelapangan.
Kerana semuanya tak mahu, saya tarik laci berkenaan, Apabila saya buka saja kain yang menutup muka Allahyarham, kami tergamam. Wajah Allahyarham memang menggerunkan. Kulitnya sawo matang tapi entah kenapa, bahagian kepalanya hitam legam. Bukanlah hendak menghina
atau mengaibkan Allahyarham tapi itulah sebenarnya apa yang ada di hadapan kami ketika itu.
Hati kami makin rasa tak sedap. Apabila saya pegang mayat tersebut, saya rasa macam ada satu benda yang tak seronok, macam kita rasa tak mahu nak buat. Seolah-olah saya rasa, "Isy... ini bukan mayat orang Islamlah, bukan orang yang beriman." Saya tutup semula muka
Allahyarham.
Dengan bantuan atendan di bilik jenazah berkenaan, kami angkat mayat tersebut untuk dimandikan. Maha Suci Allah, cuma Dia saja yang mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Masa kami angkat mayat itu, tubuhnya kami rasakan amat berat. Ini memang tidak wajar berlaku sebab tubuh Allahyarham sederhana saja. Yang angkat pun empat orang. Akibat beratnya mayat
itu sampai kawan saya sakit pinggang.
Ini berbeza dengan jenazah-jenazah lain yang saya rasa adalah daripada kalangan mereka yang beriman. Mayat mereka kami rasa seronok apabila menguruskannya, ringan, mudah dikendalikan dan boleh diselesaikan dengan pantas. Tapi mayat yang di depan kami ketika itu berlainan sekali.
Semasa memandikan Allahyarham, saya menguruskan di bahagian kepala. Apabila dibuka sahaja kain yang menutup mukanya, sekali lagi hati saya berdebar. Kali ini keadaan wajah Allahyarham betul-betul di depan mata saya. Memang menggerunkan.
Selain mukanya yang hitam, matanya juga terbeliak, terjegil memandang ke atas. Sedang saya melihat wajah Allahyarham, tiba-tiba saya terlihat ada asap keluar dari hidung dan mulutnya. Mulanya saya ingatkan itu cuma perasaan saya sahaja, namun selepas diamati, memang
pandangan saya tidak silap. Asap yang keluar itu seperi asap rokok. Yang peliknya pula, ia terus keluar sepanjang kami memandikannya. Dari mana datangnya asap yang banyak itu
cuma Allah yang mengetahuinya. Sebagai pengurus jenazah, kami perlu teruskan kerja kami itu walau apa pun perkara pelik yang kami lalui.
Jenazah yang telah lama meninggal dunia biasanya mengeluarkan banyak najis. Selain itu tubuhnya juga mengeluarkan air dan lendiran yang busuk. Begitulah juga dengan Allahyarham. Itu memang dah lumrah. Jadi sekali lagi kami perlu uruskan Allahyarham ini dengan
cermat dan tertib.
Allah itu Maha Agung, Walaupun Allahyarham sudah selesai dimandikan, asap tersebut masih lagi keluar. Kerana asap tersebut dan air masih juga keluar dari badan Allahyarham, jadi kami terpaksa gunakan lebih banyak kain kapan berbanding biasa. Lebih sejam menguruskannya, barulah selesai kerja kami pada hari itu.
Penat dan gelisahnya kami cuma Allah yang tahu. Sampai saya rasa tak sanggup nak uruskan dan nak letak jawatan, Tapi tak bolehlah, saya lakukan kerana kerja ini adalah ibadah. Nabi bersabda, dengan maksudnya, Barang siapa yang menguruskan jenazah dengan sebaik-baiknya dan menjaga kehormatannya, amanah, maka Allah akan menghapuskan dosanya seperti bayi yang
baru dilahirkan.
Selesai semua urusan di hospital, kami membawa Allahyarham ke tanah perkuburan Islam. Sewaktu urusan pengebumian dijalankan, memang kami menghadapi beberapa masalah. Ini memang perkara biasa yang kami hadapi semasa menguruskan jenazah yang bagi saya ada 'masalah' pada dirinya. Semoga Allah ampunkan saya dan Allahyarham.
Bagi orang yang seperti itu, semasa kita mengebumikannya memang ada alamat lain yang kita jumpa. Kadang-kadang kubur yang telah kita ukur betul-betul tiba-tiba jadi seperti mengecil hingga jenazah tidak boleh dimasukkan.
Bagaimanapun saya tidak berapa ingat secara terperinci peristiwa yang berlaku pada hari itu kerana peristiwa tersebut sudah lama berlaku, sudah lebih 10 tahun lalu.
Namun ada satu yang saya masih lagi ingat sampai sekarang. Semasa urusan pengebumian itu, cuaca mendung seperti hari hendak hujan. Ini menyebabkan kami rasa serba tak kena, rasa tak selesa dari awal sampai ke akhir.
Bagi saya pengalaman menguruskan jenazah tersebut benar-benar memberikan keinsafan. Allah itu Maha Besar, di atas dunia lagi Dia sudah menunjukkan balasannya. Saya berkata demikian kerana jika tidak kerana sesuatu sebab, tidak mungkin jenazah tersebut jadi sedemikian rupa. Apatah lagi dia dijumpai meninggal dunia di sebuah kawasan maksiat.
Nasihat saya, sebagai orang Islam, kita perlulah sentiasa memperkuatkan iman kita. Imanlah yang menentukan bentuk kehidupan kita di dunia hinggalah ke hari pembalasan di akhirat kelak. janganlah kita tinggalkan kewajipan kepada Allah.
Kepada anak-anak muda terutamanya, janganlah suka hidup bermegah-megah. Tinggalkanlah maksiat. Kuat macam mana pun kita, akhirnya kita akan mati juga. jika tak ada bekalan yang hendak dibawa, maka tunggulah balasannya nanti.
Sumber: Mastika
No comments:
Post a Comment